Saturday 8 August 2015

Permudahkanlah Nikah!


Zina menjadi semakin MUDAH. Nikah jadi semakin SUSAH. Nak berzina tak perlu kos yang tinggi. Tapi nak kahwin kosnya Masya'Allah, sangat tinggi! Solusinya, permudahkan nikah. Usaha kurangkan kos perkahwinan.

Saya terkejut bila dengar kisah pelajar lelaki baru menjejak kaki ke tingkatan 2 di sebuah sekolah menengah, tetapi sudah tahu cara untuk cari duit semata-mata mahu bayar kepada rakan sekelahnya (perempuan). Katanya, dia mahu berikan RM50 untuk perkhidmatan melakukan hubungan seks dengan pelajar perempuan tersebut. Masya’Allah! Mudahnya anak-anak kita mahu berzina. Itu pelajar sekolah menengah, belum cerita tentang pelajar di IPT atau lain-lainnya. Dan belum juga cerita tentang hubungan zina sesama rakan sekerja dan lelaki-lelaki yang gemar melanggan pelacur di jalanan. Segalanya tampak seakan mudah bukan?

Ya, semua ini gara-gara ruang dan peluang untuk berzina itu terlalu banyak dan terbentang luas. Walhal untuk menikah, pelbagai halangan dan rintangan perlu ditempuhi. Bukan sahaja halangan daripada sudut kewangan atau karenah birokrasi, tetapi juga halangan dari kedua-dua ibu bapa (bukan semua, tetapi ada). Sepatutnya perkahwinan ini hendaklah dipermudahkan urusannya. Jangan memayahkan.

Firman Allah SWT:

“Dan kahwinkanlah orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu, dan orang yang soleh daripada hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.” [An-Nur : 32]

Seandainya belanja hantaran untuk kaum hawa menjadi alasannya, bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda mengingatkan kita yang bermaksud:

“Antara kebaikan wanita ialah mudah urusan melamarnya, mudah maharnya (mas kahwin), dan mudah rahimnya (mudah melahirkan zuriat).” [Hadis Riwayat Ahmad dan At-Thabrani]

Jika mas kahwin (jumlahnya mengikut kadar ketetapan negeri masing-masing) pun dituntut supaya dipermudahkan urusannya, mengapa mahu menambah beban hantaran yang Rasulullah SAW sendiri tidak pernah syariatkan? Sudah tentu ia bertentangan dengan apa yang diajarkan Rasulullah SAW yakni untuk mempermudahkan urusan perkahwinan bukan?

Wednesday 5 August 2015

Tips Untuk Suami Apabila Berdepan Karenah Isteri


Suami yang mampu bersabar saat isterinya sedang marah, itulah lelaki terbaik. Bukan senang nak cari lelaki yang penyabar tetapi tegas dalam urusan agamanya juga penyayang. Kebanyakkannya panas baran dan kurang sabar.

Wahai suami, bersabarlah dengan karenah isterimu. Jangan terlalu melihat keburukannya, kerana di sana ada lebih banyak kebaikan yang kalian perolehi darinya. Setiap manusia ada kebaikan dan keburukannya. Begitu juga isterimu dan dirimu sendiri. Kerana setiap manusia itu tidak sempurna.

Saat anda kelelahan dan letih melayani karenah isterimu, banyakkanlah bersabar. Kerana setiap kesabaran itu ada ganjarannya tersendiri apalagi yang melibatkan soal rumahtangga. Setiap titis peluh yang tumpah untuk mencari nafkah buat keluarga semuanya akan diberikan pahala oleh Allah SWT.

Di samping itu, perbanyakkanlah juga membaca kisah-kisah Rasulullah SAW, para sahabat Baginda SAW dan alim ulama’ tentang bagaimana mereka berdepan dan mendidik isteri masing-masing. Di sana tentu banyak ibrah dan pengajaran boleh dikutip buat pedoman dalam kehidupan seharian.

Saidina Umar r.a menunjukkan contoh yang baik dan memberikan nasihat berguna kepada lelaki saat menghadapi karenah si isteri. Pesan Saidina Umar r.a:

“Tidak patut sekiranya aku tidak bersabar dengan karenahnya. Bukankah dia telah memasak, membasuh pakaian untukku, menyabung nyawa melahirkan zuriat-zuriatku, membesarkan anak-anakku, dan tempat aku mendapat hajatku? Sabarlah, kerana sesungguhnya keadaan itu tidak lama. Pasti akan pulih sendiri.”

Bila Cincin Tunang Ditanggalkan


Ada adat sesetengah tempat, apabila bertunang diwajibkan menyarung cincin kepada pasangan masing-masing. Jika cincin itu ditanggalkan selama tempoh pertunangan itu, maka dikira pertunangan itu terbatal secara automatik. Sedangkan perkara di atas bercanggah dengan Islam. Jangan diamalkan setelah anda tahu.

Syeikh Atiyyah Soqor menegaskan bahawa adat tersebut diambil daripada adat warisan orang bukan Islam yang mana kedua-dua pihak lelaki dan perempuan disuruh untuk memakai cincin. Sekiranya cincin yang dipakai itu ditanggalkan semula, mereka akan menganggap ia adalah sebagai tanda pertunangan diputuskan. Sedangkan perkara ini adalah bercanggah dengan ajaran Islam dan wajib dihapuskan.

Saturday 1 August 2015

Kalau Sudah Jatuh Cinta



Kalau kita sukakan seseorang, jangan beritahu dia kerana nanti akan rasa kurang cinta padanya. Luahkanlah pada Allah SWT, beritahu pada-Nya, kerana Allah SWT Maha Mengetahui siapa jodoh kita yang sebenar.

Tak salah seseorang menyukai seseorang, kerana itu adalah fitrah manusia yang dibekalkan naluri untuk kasih mengasihi sesama manusia. Cumanya, jika belum bersedia, usah diluahkan pada empunya diri bimbang ia akan menyusahkan kita kelak.

Berdoalah pada Allah SWT, mohon petunjuk dari-Nya. Perbanyakkan istikharah agar dipermudahkan urusan memilih calon terbaik. Jika hati rasa tenang kepadanya, maka usahakan untuk memiliki secara halal. Kalau dah jodoh, segalanya terasa mudah.

Antara Kaca Dan Permata


Wanita yang pandai menjaga kehormatan diri itulah wanita yang baik.
Dan lelaki yang tahu menghormati wanita itu juga adalah lelaki yang baik.

Ada satu video yang dirakamkan oleh orang barat. Mereka bereksperimen mengenai reaksi masyarakat antara wanita yang mengenakan hijab dan yang seksi. Wanita itu melalui jalan-jalan utama di sebuah bandaraya besar. Reaksi lelaki bila melihat wanita berhijab, mereka seolah-olah hormat dan tidak berani mengganggu wanita tersebut. Sedangkan eksperimen kedua pula menunjukkan sebaliknya. Seorang wanita yang berpakaian seksi, tidak berhijab seringkali diganggu lelaki. Kalaupun tak ganggu, mereka akan menjeling tajam seperti kucing mengidam ikan.

Nampakkan perbezaan kedua-duanya? Dan kebanyakan lelaki baik, dia akan berusaha mencari perempuan yang baik. Kerana dia tahu membezakan antara kaca dan permata. Bukan saja lelaki baik, lelaki yang kurang baik juga jika ditanya, apakah pilihan calon isterinya. Dia pasti akan menginginkan calon yang kurang baik. Itu adalah fitrah manusia.

Saranan untuk muslimah menjaga kehormatan diri itu adalah mencakupi kepada menjaga pandangan mata (ghadhul basar) dan menjaga kemaluannya daripada melakukan zina. Firman Allah SWT:

“Katakanlah kepada wanita-wanita mukminah: Hendaklah mereka menundukkan pandangan mata mereka dan menjaga kemaluan mereka…” [An-Nur: 31]

Berubahlah Jika Mahu Yang Terbaik


Berusahalah dan berdoalah kepada Allah SWT untuk mendapatkan jodoh kita yang terbaik. Untuk mendapatkan jodoh terbaik, kita juga perlu menjadi yang terbaik.

Allah SWT berfirman:

“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.” [An-Nuur :26]

Ayat di atas menerangkan bahawa perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan sebaliknya, juga perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat. Pun begitu, ayat di atas bukanlah bermaksud ia adalah ketetapan ataupun janji dari Allah SWT yang mana seseorang lelaki atau perempuan akan mendapat pasangannya yang baik. Tetapi ia lebih kepada saranan dan peringatan kepada kita supaya memilih calon yang baik untuk dijadikan suami atau isteri.

Untuk mendapatkan pasangan terbaik, tidak dapat tidak kita perlu berubah dan menjadi terbaik agar apa yang dihajati termakbul. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…” [Ar-R’ad: 11]

Berbicara Tentang Cinta & Nikah

Blog ini dibuat khas untuk menulis perihal cinta yang selalu bermain di benak fikiran anak muda dan dewasa. Juga berbicara tentang Nikah yang kebanyakannya masih sangsi dan samar-samar.

Semoga adanya blog ini, dapatlah kiranya memberi manfaat kepada semua. Biarlah ilmu itu terus bergerak, walau dengan apa cara sekalipun asalkan tak menyalahi Syara'.

Terima kasih kerana menyokong usaha kecil ini.