Saturday 8 August 2015

Permudahkanlah Nikah!


Zina menjadi semakin MUDAH. Nikah jadi semakin SUSAH. Nak berzina tak perlu kos yang tinggi. Tapi nak kahwin kosnya Masya'Allah, sangat tinggi! Solusinya, permudahkan nikah. Usaha kurangkan kos perkahwinan.

Saya terkejut bila dengar kisah pelajar lelaki baru menjejak kaki ke tingkatan 2 di sebuah sekolah menengah, tetapi sudah tahu cara untuk cari duit semata-mata mahu bayar kepada rakan sekelahnya (perempuan). Katanya, dia mahu berikan RM50 untuk perkhidmatan melakukan hubungan seks dengan pelajar perempuan tersebut. Masya’Allah! Mudahnya anak-anak kita mahu berzina. Itu pelajar sekolah menengah, belum cerita tentang pelajar di IPT atau lain-lainnya. Dan belum juga cerita tentang hubungan zina sesama rakan sekerja dan lelaki-lelaki yang gemar melanggan pelacur di jalanan. Segalanya tampak seakan mudah bukan?

Ya, semua ini gara-gara ruang dan peluang untuk berzina itu terlalu banyak dan terbentang luas. Walhal untuk menikah, pelbagai halangan dan rintangan perlu ditempuhi. Bukan sahaja halangan daripada sudut kewangan atau karenah birokrasi, tetapi juga halangan dari kedua-dua ibu bapa (bukan semua, tetapi ada). Sepatutnya perkahwinan ini hendaklah dipermudahkan urusannya. Jangan memayahkan.

Firman Allah SWT:

“Dan kahwinkanlah orang bujang (lelaki dan perempuan) daripada kalangan kamu, dan orang yang soleh daripada hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.” [An-Nur : 32]

Seandainya belanja hantaran untuk kaum hawa menjadi alasannya, bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda mengingatkan kita yang bermaksud:

“Antara kebaikan wanita ialah mudah urusan melamarnya, mudah maharnya (mas kahwin), dan mudah rahimnya (mudah melahirkan zuriat).” [Hadis Riwayat Ahmad dan At-Thabrani]

Jika mas kahwin (jumlahnya mengikut kadar ketetapan negeri masing-masing) pun dituntut supaya dipermudahkan urusannya, mengapa mahu menambah beban hantaran yang Rasulullah SAW sendiri tidak pernah syariatkan? Sudah tentu ia bertentangan dengan apa yang diajarkan Rasulullah SAW yakni untuk mempermudahkan urusan perkahwinan bukan?

No comments:

Post a Comment